Monday 31 October 2016

KERJA MINGGUAN MINGGU KE 7

TARIKH : 25 OKTOBER 2016

SOALAN : Ringkaskan peristiwa Keranda 152.

Keranda 152 merujuk kepada perarakan bantahan para pejuang Bahasa Melayu terutama penulis dari Dewan Bahasa dan Pustaka yang mencapai kemuncaknya pada 3 Mac1967 di Balai BudayaDewan Bahasa dan Pustaka. Antara tokoh terpenting ialah Usman Awang yang ketika itu menjadi editor Dewan MasyarakatDewan Sastera dan Dewan Budaya yang diterbitkan DBP. Perarakan ini merupakan simbolik kepada kematian bahasa Melayu apabila kerajaan Malaysia tidak menepati janji untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa dalam bidang kehakiman.

LATAR BELAKANG KERANDA 152.
Semua orang Melayu di Malaysia dipelopori pejuang bahasa mahu mengangkat martabat bahasa Melayu ke tempat yang wajar di negara ini bagi menggantikan bahasa Inggerisyang menjadi bahasa pengantar di sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti ketika itu.
Dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 jelas mencatatkan kedudukan bahasa Melayu akan dinaikkan kedudukan secara berperingkat dari 31 Ogos 1957 kepada tahap lebih baik 10 tahun kemudian iaitu pada 1967. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan adalah salah satu dari kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama oleh rakyat berbilang bangsa termasuk Cina, India dan lain-lain. Ketika Malaysia baru merdeka pada 1957, parti pemerintah beranggapan bahawa bahasa Melayu belum bersedia untuk mengambil alih tugas bahasa Inggeris yang digunakan oleh pentadbiran penjajah dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran negara.
Apabila persidangan Dewan Rakyat membahaskan Perkara 152 yang majoritinya daripada Perikatan, janji 10 tahun lalu diabaikan. Badan NGO Melayu rasa terkejut dengan beberapa peruntukan dalam Rang Undang-Undang Bahasa 1967 yang masih mengekalkan Bahasa Inggeris dalam beberapa bidang terutama bidang kehakiman. Tempoh 10 tahun dikatakan tidak berjaya membaiki jumlah perbendaharaan bahasa Melayu, bilangan guru di sekolah dan pensyarah di universiti. Bahasa Melayu hanya dilihat memadai untuk pelajaran bahasa Melayu dan bidang sastera sahaja dan tidak layak untuk bidang sains
Usman Awang 


KEMUNCAK DEMONSTRASI 3 MAC 1967
Lebih 2,000 pejuang bahasa termasuk pengarah DBP, Tun Syed Nasir Ismail dan Usman Awang berhimpun dan berucap di Balai Budaya, DBP selepas sembahyang Jumaat pada 3 Mac 1967. Mereka mahu berarak membawa keranda putih bertulis Perkara 152 ke bangunan Parlimen yang terletak di Jalan Mahameru, kira-kira 3 km dari DBP. Namun kerajaan Perikatan tetap bertegas dengan bahasa Inggeris. Perarakan Keranda 152 ini telah disemadikan oleh Usman Awang dalam puisinya "Sajak Keranda 152".
Tetapi Peristiwa 13 Mei menjadi detik penting dan peluang terbaik untuk menukar status bahasa Melayu kepada bahasa pengantar, bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang sebenar-benarnya dalam semua majlis dan semua perkara. Menteri Pelajaran yang berani bertindak ketika itu ialah Abdul Rahman Yaakub dari Sarawak. Konvensyen Ekonomi Melayu yang diadakan juga setuju menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia dengan seberapa segera sebagai alternatif Universiti Malaya di Singapura yang ditubuhkan oleh penjajah British.

PERARAKAN KERANDA 152 KE-2 PADA 7 MAC 2009

Kemuncak bantahan besar-besaran terhadap dasar PPSMI adalah pada 7 Mac 2009 apabila puluhan ribu rakyat telah berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum derita lara pelajar yang mengikuti PPSMI sejak 2003 - 2009. Ini merupakan jalan terakhir yang terpaksa dilakukan setelah Kementerian Pelajaran Malaysia masih mahu meneruskan dasar-dasar mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir bin Mohamad. Bulan Mac dipilih kerana Perhimpunan Agung UMNO 2009 akan diadakan pada bulan Mac. Himpunan Anti ISA juga dirancang pada bulan itu oleh Gerakan Mansuhkan ISADAPPASPKR dan NGO lain.[2]Rentetan dari perarakan tersebut nama-nama tokoh besar telah disiarkan di media arus perdana oleh polis kerana dikatakan cuba mencetuskan huru hara.

PERARAKAN KERANDA 152 KE-3 PADA 26 MAC 2016

Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang dipimpin Prof Emeritus Shahrir Md Zain telah mengadakan satu Sidang Media pada 5 Januari 2016 bersama Angkatan Belia Islam malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) serta Majlis Bertindak Pendidikan Kebangsaan yang diwakili Gabungan Penulis Nasional (GAPENA). Dalam sidang media yang dianjurkan di Sekretariat ABIM, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) berkata memilih jalan terakhir untuk mengadakan perhimpunan bantahan secara aman di seluruh negara pada 26 Mac 2016. Tindakan ini kerana kecewa dan terkilan dengan sikap kerajaan yang tidak melayan segala usaha berbentuk rundingan bagi memansuhkan Program Dwi-Bahasa (DLP). GMP menyatakan, berdasarkan fakta kajian dan statistik telah jelas menunjukkan kegagalan dasar PPSMI yang mengorbankan 3 juta pelajar yang menelan belanja RM5.2 billion. Pihak GMP bertegas bahawa mekanisme pembelajaran subjek Bahasa Inggeris di sekolah yang harus ditingkatkan sekiranya mahu memastikan pelajar sekolah fasih berbahasa Inggeris bukan dengan cara mirip PPSMI atau DLP.
Pejuang Bahasa seterusnya bersama delegasi bijak pandai Melayu, mahaguru bahasa, sasterawan, budayawan, aktivis NGO dan pakar sains telah mengadap Baginda Sultan Perak, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk membincangkan masa depan anak bangsa dan bahasa kebangsaan. Baginda Sultan Perak secara dasar bersetuju dengan kajian Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) bahawa sesuatu ilmu lebih berkesan dan mudah dikuasai sekiranya diajar dalam bahasa ibunda.
Kemuncak bantahan adalah pada 26 Mac 2016 apabila pejuang bahasa yang terdiri dari GMP, ABIM, PKPIM, MBPK, Gapena dan lain-lain berarak mengusung Keranda 152 yang ketiga di ibu kota. Keranda 152 yang ketiga diusung sebagai menifestasi kegagalan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjadi payung untuk mempertahan kedaulatan bahasa kebangsaan. Walaupun perhimpunan itu telah diisytiharkan oleh polis sebagai haram dan bercanggah dengan undang-undang, kumpulan pejuang bahasa tetap tekad untuk mengusung Keranda 152 sebagai simbol perjuangan bahasa Melayu tidak pernah malap malah akan terus diperjuangkan oleh generasi akan datang.

No comments:

Post a Comment